Wednesday, December 30, 2009

Fekah Muamalah

Oleh: Ustaz Abdul Hadi bin Borham
Pensyarah Pendidikan Islam
UiTM Perlis

BAB I

1. PENDAHULUAN

Aktiviti perniagaan sememangnya dituntut oleh ajaran Islam sebagai meningkatkan pembangunan sosioekonomi umat. Tradisi berniaga bermula dengan permintaan manusia memerlukan sesuatu sebagai tukaran bagi mendapatkan barang keperluan dari pihak lain. Asas jual beli dari kaca mata Islam telah pun dinyatakan di dalam sumbernya iaitu al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qiyas. Namun bentuk jualbeli berubah kerana perubahan masa dan keadaan. Pelbagai bentuk jualbeli perniagaan yang telah wujud pada zaman kini dengan relatif dan turut berlaku dalam masyarakat Islam. Langkah ke arah bentuk ekonomi yang berteraskan Islam menjadi demand masyarakat Islam amnya dalam era 1960an, 70an, 80an dan hinggalah kini. Masyarakat Islam menyedari perlunya kepada praktik ekonomi Islam dalam aktiviti-aktiviti atau muamalah umat Islam Memandangkan aktiviti ekonomi berubah dan berkembang menjadi kompleks, memerlukan kepada alternatif umat Islam dalam muamalah. Justeru Malaysia telah cuba mengambil langkah tersebut dan beberapa perkembangan yang dapat dilihat dalam institusi kewangan Islam dan konvensional. Masyarakat mempunyai pilihan berurusan dalam bentuk di dalam institusi-institusi kewangan di Malaysia. Gabenor Bank Negara Tan Sri Zetty Ungku Aziz[1], menyatakan bahawa Malaysia bakal menjadi hub kewangan Islam diperingkat antarabangsa. Oleh itu, usaha dalam merealisasikan inspirasi tersebut, memerlukan langkah kuat dalam semua sektor kewangan, termasuklah dalam pasaran modal. Melalui kertas ini, pasaran saham di negara ini dilihat mempunyai pengaruh British semasa menjajah dengan kerangka kapitalis. Kegiatan tersebut terus berlaku di dalam masyarakat Islam dan memerlukan ke arah pemurnian proses agar selaras dengan tolok tanda muamalah Islam. Maka kertas ini akan melihat dan membincangkan amalan jual beli saham di pasaran Bursa Saham Malaysia yang bercanggah dengan teori muamalah Islam.

2. PERNYATAAN MASALAH

Perkembangan semasa telah menyebabkan beberapa perkara baru yang perlu ditangani untuk alternatif dalam masyarakat Islam, terutamanya dalam masalah muamalah. Kerangka ekonomi hari ini yang diwujudkan Barat di dalam masyrakat Islam terus menjadi polemik tentang persoalan halal dan haram sesuatu urusniaga. Contohnya dalam masalah riba. Disebabkan mempunyai beberapa percanggahan dengan prinsip-prinsip ekonomi Islam, perkara baru dalam muamalah sering mengundang tentang sikap dan pendirian umat Islam dalam keadaan limbo. Sekiranya di dalam masalah teknologi komunikasi semasa (ICT) telah disebutkan fenomena panic muslim oleh seorang peserta di Symposium on Mass Media and the Transformation of Islamic Discourse.[2] Ini pula dengan masalah ekonomi semasa yang dilihat mempunyai sensetiviti umat Islam yang tinggi dalam soal halal dan haram, termasuklah dengan perkara yang syubhah.[3] Walaupun, Islam amat menitikberatkan persoalan harta dan sumbernya yang bersih untuk keredhaan Allah.[4]

Secara amnya, bentuk pemilikan melalui saham telah muncul pada kerangka Barat.[5] Perkara ini terus berkembang dalam seluruh dunia masa kini dan melibatkan masyarakat Islam. Oleh kerana perkembangannya semakin kompleks dan memerlukan para sarjana Islam mengambil inisiatif penjelasan agar sejajar dengan Islam. Sebelum wujudnya Majlis Penasihat Syariah ( MPS) di bawah Suruhanjaya Sekuriti (SC), pelaburan saham telahpun digunakan oleh umat Islam. Maka dalam perkara yang melibatkan pertentangan dengan muamalah Islam memerlukan kepada penjelas khusus kepada pelabur-pelabur Islam semasa agar sumber harta umat Islam tidak terus terjerumus dengan perkara batil atau syubhah.[6]

3. SUMBER-SUMBER MUAMALAH ISLAM

Perbahasan mengenai ekonomi Islam cukup banyak sumber rujukannya. Ulama-ulama telahpun membincangkan tentang kefahaman atau fiqh muamalah di dalam kitab-kitab warisan (turath). Secara amnya, semua ulama-ulama Islam bersepakat bahawa sumber utama dalam Islam adalah al-Quran dan al-Hadis. Perbahasan mengenai sumber adalah sebahagian daripada perbincangan ilmu usul fiqh dan melibatkan semua bentuk muamalah merujuk kepada sumber utamanya. Sumber di sini merujuk kepada dalil, tempat mengambil hukum dan kaedah menganalisis hukum fiqh. Menurut Abd Halim El Muhammady sumber dalam perundangan Islam pada pandangan ulama terdapat dua kategori iaitu sumber yang disepakati dan sumber tambahan yang tidak disepakati oleh ulama. Kebanyakan ulama mengakui bahawa sumber utama dalam perundangan Islam ada empat iaitu al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan qiyas.[7] Joseph Schacht di dalam ‘Origin Muhammadan Jurisprudence’ menyatakan sumber asas dalam Islam ialah al-Quran, al-Sunnah, ijmak (consensus) dan qias (analogy). Menurut Schacht, kerangka ini disebutkan oleh Imam Syafie r.a sebagai teori pembinaan hukum dalam bukunya yang pertama.[8] Ahmad Zakiy juga menyebutkan sumber-sumber (mashodir) di dalam syariah Islam adalah empat perkara yang disebutkan sebelum ini.[9] Firman Allah s.w.t:

Maksudnya:

“Maka sekiranya kamu berselisih di dalam sesuatu perkara, maka kembalilah kepada kitab Allah dan RasulNya”[10]

Malahan perkara ini, dilihat semasa Rasulullah s.a.w hendak menghantar Muaz bin Jabal r.a ke Yaman sebagai qadi.[11] Singinfikasi peristiwa tersebut melalui kenyataan daripada jawapan Muaz terhadap pertanyaan Rasulullah s.a.w tentang rujukan sumber. Daripada empat sumber yang utama tersebut para ulama bersepakat bahawa ia adalah sumber-sumber yang disepakati.

Malahan melalui sumber yang keempat qiyas dapatlah diperhatikan, bahawa ianya melahirkan pelbagai metodologi yang digunakan dalam menyelesaikan permasalahan umat Islam. Maka lahirlah beberapa metodologi dalam menentukan undang-undang dan disebut sebagai sumber yang tidak disepakati seperti mashalih mursalah, uruf , istihsan, mazhab sahabiyy, camal ahli al-Madinah dan istishab.[12] Di samping itu, terdapat juga beberapa kaedah yang boleh digunakan sebagai sumber dalam Islam iaitu berdasarkan maqasid syariyyah, siyasah syariyyah, saddu zari’ah dan talfiq mazhab.

4. ASAS-ASAS TEORI MUAMALAH

4.1 Konsep jual beli daripada perspetif Islam

Istilah jual beli boleh disebut dengan urusan dua pihak yang melibatkan pertukaran sesuatu barangan atau sebagainya. Ianya lebih mudah dinyatakan dengan pertukaran sesuatu dengan sesuatu sama ada ia harta atau bukan harta. Wahbah Zuhaili mendefinisikan jualbeli dari bahasa iaitu menukar suatu barang dengn suatu barang. Menurut istilah daripada mazhab Hanafi jual beli ialah pertukaran suatu harta dengan suatu harta mengikut cara tertentu. Atau menukar sesuatu yang disukai dengan sesuatu yang lain yang juga disukai dengan cara tertentu yang berfaedah iaitu dengan tawarn atau unjuk mengunjuk.[13] Justeru pelbagai definisi yang dikemukakan oleh penulis bagi melihat jual beli dan bentuknya. Maka secara am, dapatlah dinyatakan bahawa jual beli adalah pertukaran sesuatu barang yang akan melibatkan pemindahan hak milik di antara dua pihak mengikut cara-cara tertentu (aqad).

Pensyariatan jual beli di dalam Islam berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”[14]

Malahan terdapat banyak lagi tempat yang diterangkan dalam al-Quran dalam konteks ekonomi, termasuklah di dalamnya mengenai jual beli. Selain itu, al-Quran turut menerangkan tentang prinsip-prinsip manusia dalam bermuamalah sebagai tatacara utama dalam pelaksanaan sesuatu transaksi. Justeru ia menghendaki tentang akhlak manusia dalam mencari harta di dunia agar tidak termasuk daripada perkara yang batil.

Kalangan ulama telah meletakkan beberapa elemen yang penting dalam jual beli, agar dapat dipastikan ianya tidak memmudaratkan kepada dua pihak yang berurusniaga. Antara elemen yang penting di dalam jual beli adalah mengenai rukun. Kupasan di dalam pelbagai buku-buku fiqh dan jumhur ulama telah menyatakan beberapa rukun tentang jual beli, iaitu penjual dan pembeli, wang dan benda atau barangan yang dibeli, dan ijab dan qabul.[15] Manakala rukun jual beli di sisi mazhab Hanafi ialah adanya tawaran (ijab) dan penerimaan yang menunjukkan berlakunya penukaran barang.[16]

Oleh itu, dapat dinyatakan proses sah dalam jual beli dijalankan berdasarkan daripada rukun-rukun yang disepakati oleh ulama. Manakala perbahasan mengenai bentuk dalam jual beli sifat relatif dan berubah-ubah melalui pelbagai masa dan keadaan. Justeru itu, jual beli berdasarkan konsep dan teorinya adalah suatu perkara yang asas dalam muamalah, tetapi bentuk dalam jual beli tersebut tidaklah bergerak sepertimana konsep.

4.2 Konsep Pelaburan

Pelaburan merupakan suatu mekanisme dalam mencapai hasil pendapatan tertentu di masa hadapan. Bentuknya boleh dinyatakan sama dengan konsep jual beli di atas yang melibatkan pertukaran dalam bentuk wang. Syed Mohd. Ghazali Wafa et al menyatakan pelaburan merupakan aktiviti menukarkan sesuatu harta (lazimnya wang tunai) dengan harta lain (seperti saham syarikat, akaun simpanan, insuran, hartanah) yang juga disebutkan sebagai penanaman modal pada sesuatu waktu atau sekarang dengan jangkaan untuk mendapatkan pulangan yang positif atau keuntungan pada masa akan datang setelah membuat perkiraan akan risiko bagi setiap aktiviti pelaburan tersebut. Aktiviti pelaburan unit lebihan dan unit kurang dalam masyarakat.[17] Firman Allah, maksudnya:

“Dan carilah apa saja kurniaan Allah kepada kamu di atas muka bumi ini untuk memenuhi keperluan akhirat kamu dan jangan lupa akan keperluan dunia kamu”

“Dan bertolong-tolonglah membuat perkara kebaikan, dan janganlah kamu saling tolong menolong dalam membuat keburukan”

Oleh itu, aktiviti pelaburan dari perspektif Islam adalah berdasarkan kepada tempat pelaburan, sifat pulangan, riba, perjudian dan paksaan. Perkara tersebut amat dittitk beratkan dalam Islam agar ianya sentiasa berada di atas piawaian syariat Islam.[18] Maka dalam Islam, beberapa perkara yang penting dilihat dalam muamalah sebagai tujuan mardhatillah, bukannya atas tujuan profit atau dinilai dan dijalankan terlepas dasar akidah. Sebab itulah aspek harta dinyatakan dalam maqasid syariah dan dianggap yang penting dalam sistem muamalah manusia sebagai ibadah. Aktiviti muamalah manusia hendaklah bertepatan dengan syariat Allah. Oleh itu, dalam muamalah dalam Islam sentiasa melihat kepada aspek aidah dan akhlak, kebenaran, amanah, keikhlasan, keadilan, halal dan ibadah.

4.3 Konsep Syarikat

Syarikat berasal daripada perkataan ‘sharaka’ yang bermaksud perkongsian. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan syarikat dari sudut bahasa bermakna percampuran salah satu harta dengan harta yang lain sehingga tidak boleh dibezakan antara keduanya. Mengikut ulama mazhab Syafie syarikat ialah sabit hak pada sesuatu bagi dua orang atau lebih secara milik bersama. Manakala kalangan ulama mazhab Hanafi menyatakan syarikat ialah suatu kontrak antara dua orang yang berkongsi dalam modal dan untung.[19] Dalam pembentukkan syarikat dilihat akan sempurna apabila rukun dan syarat dipenuhi sepertimana dinyatakan oleh jumhur ulama iaitu dua pihak yang berkontrak, subjek aqad dan sighah. Justeru secara amnya, syarikat terbahagi kepada tiga iaitu:[20]

1. Syarikat al-ibahah

Syarikat al-ibahah ialah perkongsian antara orang ramai dalam memiliki hak sesuatu harta yang harus dan tidak dimiliki oleh mana-mana individu. Contohnya air, tumbuh-tunbuhan, galian dan kemudahan atau harta awam.

2. Syarikat al-amlak

Syarikat al-amlak ialah perkongsian milik antara du orang atau lebih terhadap sesuatu perkara atau harta tanpa akad perjanjian. Ia berlaku disebabakan perwarisan, percampuran harta yang tidak boleh dibezakan, pemberian (hibah), hadiah dan wasiat. Mengikut jumhur ulam, syarikat ini terbahagi kepada dua iaitu syarikat ijbariyyah dan syarikat ikhtiariyyah.

3. Syarikat al-uqud

Syarikat al-uqud ialah perkongsian antara dua orang atau lebih terhadap sesuatu perkara secara akad perjanjian. Jumhur ulama membahagikan syarikat uqud kepada tiga kategori iaitu:

a) Syarikat al-Amwal, iaitu persetujuan oleh dua pihak atau lebih untuk menyumbang kadar tertentu sebagai modal perniagaan. Modal dan keuntutngan adalah menjadi dasar kepada syarikat ini. Ahli akan bertanggungjawab ke atas keuntungan dan kerugian syarikat. Syarikat ini terbahagi kepada dua iaitu:

i. Syarikat al-Inan, dimaksudkan sebagai akad dua pihak atau lebih untuk berkongsi pada harta yang ditentukan oleh kedua-duanya dengan tujuan mencari keuntungan. Syarikat al-inan adalah sebagai sebuah syarikat yang ditubuhkan dan diasaskan di antara pihak yang terlibat secara berlebih kurang atau persepakatan tanpa perlu ada persamaan. Jumhur fuqaha mengharuskan syarikat al-inan dan banyak diamalkan kerana tidak mensyaratkan persamaan sama ada pada harta atau pada pengurusannya. Antara syarat-syarat bagi syarikat al-inan ialah, modal syarikat tidak disyaratkan sama banyak antara ahli, harus dua orang yang berkongsi mensyaratkan kerja ke atas kedua-duanya atau ke atas salah seorang sahaja, keuntungan dibahagikan mengikut kadar modal sama ada banyak atau tidak, jika harta syarikat rosak atau salah satu daripada harta itu rosak sebelum daripada dibeli atau sebelum daripada keduanya dicampurkan syarikat itu akan menjadi batal, dan setiap rakan kongsi boleh menjual harta syarikat sama ada secara tunai atau hutang.

ii. Syarikat mufawadah[21] iaitu perkongsian dua pihak atau lebih untuk bekerjasama dalam sesuatu perniagaan dengan wujud persamaan antara ahli syarikat dalam semua aspek. Persamaan tersebut adalah melalui modal, keuntungan, agama, pengurusan, tanggungjawab dan risiko. Syarikat ini dinamakan mufawadah kerana setiap ahli syarikat menjadi wakil kepada rakan kongsinya sama ada semasa kehadiran rakan kongsinya atau tidak.

b) Syarikat al-Ashkhas (Individu) iaitu syarikat yang berdasarkan kepada hubungan individu untuk berkongsi dalam sesuatu perniagaan. Syarikat ini terbahagi kepada dua, pertama syarikat amal iaitu dikenali dengan syarikat abdan atau syarikat sana’i (pertukangan). Syarikat ini merupakan perkongsian dua orang atau lebih pada kemahiran dan pengurusan. Kedua, syarikat wujuh iaitu perkongsian antar dua pihak atau lebih yang terkenal di kalangan masyarakat tanpa mengeluarkan sebarang modal. Mereka bersetuju untuk membeli secara hutang atas tanggungan masing-masing dan menjualnya secara tunai.

c) Syarikat mudharabah iaitu sebuah syarikat hasil gabungan syarikat amwal dan syarikat ashkhas. Mudharabah ialah akad antara pihak pemodal dan pengusaha. Pemodal menyerahkan hartanya kepada pengusaha dan pengusaha mencurahkan tenaga berniaga dan mereka berkongsi keuntungan yang diperolehi dengan nisbah yang maklum.

Walaubagaimanapun berdasarkan definisi syarikat konteks kini adalah mengikut undang-undang, akta terkini, dan dalam perbincangan tentang ekonomi semasa, syarikat dinyatakan sebagai persatuan perseorangan yang ditubuhkan untuk menjalankan perniagaan. Ahli-ahli ini mencarum modal dalam saham-saham biasa bersetuju berkongsi untung dan rugi. Menurut seksyen 4, Akta Syarikat, syarikat adalah yang diperbadankan mengikut Akta Syarikat 1965 atau mana-mana enakmen sebelumnya yang berkaitan. Ertinya sesebuah syarikat itu hanya akan tertubuh apabila didaftarkan di pejabat pendaftaran syarikat mengikut prosedur-prosedur yang dikehendaki di bawah Akta Syarikat.[22]

4.4 Bai’ Dayn

Dayn menurut perundangan Islam, mencakupi ruang lingkup yang luas, iaitu bayaran kepada harga barangan, bayaran kepada qiradh (hutang), bayaran mahr (mas kahwin) selepas isteri disetubuhi atau sebelumnya; iaitu mahar yang belum dibayar selepas akad nikah, bayaran sewa, ganti rugi yang mesti dibayar keranan jenayah, ganti rugi atas kerosakkan yang dilakkan, jumlah wang mesti dibayar kerana tebus talak (khulu’) dan barangan pesanan yang belum sampai.[23]

Dalam pasaran modal Islam, bai’ dayn ialah kaedah melakukan penjualan dayn yang wujud hasil daripada akad mu’awadat maliyah (akad pertukaran) seperti murabahah, bai’ bi thaman ajil (BBA), ijarah dan lain-lain.[24] Bai’ dayn adalah salah satu cara yang digunakan dalam sistem pelaburan Islam di Malaysia bagi mewujudkan sumber-sumber kewangan yang diperlukan mengikut peraturan.

4.5 Al-Ijarah

Al-ijarah adalah suatu akad yang lazim ke atas sesuatu manfaat yang tertentu masanya dengan bayaran yang maklum. Ulama mazhab Syafie mentakrifkan sewa sebagai kontrak ke atas sesuatu manfaat yang dikehandaki diketahui yang harus dapat digunakan dan keharusan tersebut ialah dengan tukaran atau bayaran ganti tertentu.[25]

Secara rumusannya daripada bahagian ini dapatlah dinyatakan bahawa transaksi jual beli adalah dituntut dalam Islam. Di samping ianya dapat memangkinkan pembangunan sosioekonomi, jual beli dalam perniagaan diletakkan atas tanda aras kebajikan dalam Islam. Sementara pengembangan aktiviti dalam perniagaan adalah manifestasi konsep jual beli. Justeru dalam proses transasksi ekonomi yang semakin kompleks, kalangan ulama telah melihat perkara tersebut (dalam pembinaan instrumen yang berlandaskan Islam) dalam perspektif berbeza atau bersetuju berdasarkan empat mazhab.

BAB 2

2. APLIKASI SAHAM DI PASARAN BURSA SAHAM MALAYSIA

Pasaran saham dapat difahami dengan disebutkan sebagai pasaran sekuriti korporat dalam pasaran modal Malaysia. Beberapa perkara yang akan dilihat di bahagian ini, antaranya pengenalan tentang bursa saham Malaysia, bentuk transaksi dan majlis penasihat suruhanjaya sekuriti.

2.1 Definisi Saham

Saham diertikan sebagai sejumlah unit pemilikan pelabur di dalam syarikat perkongsian atau awam, berbeza keadaannya dengan jumlah bahagian modal dalam syarikat individu. Dalam konteks semasa saham lebih dinyatakan sebagai satu transkrip atau sijil yang diberikn kepada pelabur sebagai pernyataan haknya yang sebenar dalam pemilikan modal syarikat.[26] Manakala menurut Ismail Ibrahim saham sejenis terbitan yang dikeluarkan oleh syarikat sebagai alat pemilikan. Pemegang saham adalah pemilik syarikat. Pemilikan ini dilambangan melalui sijil saham yang mencatatkan nama pemegang saham.[27]

2.2 Pasaran Saham

Di Malaysia, urusniaga saham diniagakan di pasaran saham (pasaran modal) di Bursa Saham Malaysia. Bursa Malaysia merupakan tempat sekuriti-sekuriti diniagakan dan ia memainkan peranan penting dalam menggerak dana-dana yang boleh dilaburkan di kalangan pengeluar dan pengguna dana di samping menyediakan mudah tunai untuk pelaburan di pasaran.[28] Selain itu, di bursa saham menyediakan satu jentera yang tersusun untuk pemilik syarikat persendirian menjual saham-saham mereka tanpa perlu berhubung secara langsung dengan pembeli. Ia memudahkan peruntukan sumber-sumber dengan lebih lengkap dan juga agihan milikan yang lebih luas.[29]

Aktiviti jual beli saham telah lama wujud di Malaysia sejak 1960an dengan 4 broker di bawah arahan, seliaan dan bantuan daripada Bank Negara. Pelabur akan berkumpul beramai-ramai di Rumah Penjelasan Bank setiap hari untuk meletakkan harga dan ianya berkembang kepada pengwujudan Pasaran Saham Malaya. Nama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) mula diperkenalkan pada tahun 1973 dan kini ditukar kepada Bursa Saham Malaysia. Konsep aktiviti saham kini telah menggunakan alatan teknologi semasa dan pelabur tidak lagi mengikuti konsep kaedah laungan untuk jual beli secara konservatif.[30] Oleh itu, perubahan yang di dapati melalui papan bursa saham mudah dicapai melalui sistem maklumat teknologi semasa.

Pada tahun 1989, sistem SCORE[31] telah dilancarkan bagi menggantikan system laungan terbuka dan digunakan sepenuhnya pada 13 November 1989. Pada permulaan sisitem ini diperkenalkan hanya kepada sektor kewangan sahaja dan sistem ini telah dikembangkan kepada sektor harta, sektor hotel, kelapa sawit, timah, getah dan sector industri sehinggalah pada hari ini.[32]

2.3 Suruhanjaya Sekuriti (SC)

Suruhanjaya Sekuriti merupakan sebuah badan yang mempunyai peranan pembangunan yang penting dalam pasaran modal di Malaysia. Status yang tertakluk kepada suruhanjaya ini adalah mengikut seksyen 15(1), Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 yang menyatakan fungsi suruhanjaya sekuriti iaitu:

a) Sebagai penasihat kepada menteri dalam semua hal yang berkait dengan sekuriti dan masa depan industri.

b) Untuk mengambil semua reasonable measure untuk mengekalkan kenyakinan pelabur dalam sekuriti dan masa depan pasaran dengan memastikan semua pelabur diberi perlindungan secukupnya.

c) Untuk menggalakkan dan mempromosi pembangunan sekuriti dan masa depan pasaran wang di Malaysia termasuk kajian dan latihan.

2.4 Majlis Penasihat Syariah

MPS ditubuhkan secara rasminya pada Mei 1996. Ia merupakan satu badan yang ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang bertangungjawab dalam meluluskan senarai-senarai terkini sekuriti yang tersenarai di Bursa Malaysia. Kewujudan MPS penting kerana jumlah sekuriti yang diluluskan adalah sentiasa berubah-ubah sejajar dengan berlaku dalam operasi utama sekuriti yang terbabit. Ini kerana operasi utama sesebuah firma merupakan subjek yang amat dititikberatkan dalam membuat keputusan sama ada firma tersebut akan diluluskan atau tidak.[33] Dalam memperkenalkan instrumen-instrumen pasaran modal Islam, MPS telah mengambil dua pendekatan iaitu dengan mengkaji kesahihan instrumen konvensional yang diamalkan oleh pasaran modal tempatan daripada perspektif syariah. Kajin tertumpu kepada struktur, mekanisme dan percanggahan dengan prinsip-prinsip syariah. Manakala kaedah kedua adalah merangka dan membentuk instrumen kewangan baru berlandaskan prinsip-prinsip syariah.[34]

2.5 Kriteria Pemilihan

Dalam mengklasifikasikan sekuriti-sekuriti yang diluluskan, MPS mengambil kira kriteria-kriteria tertentu agar ianya tidak melanggari prinsip-prinsip syariah. Antara kriteria-kriterianya ialah:

1) Mempunyai operasi yang tidak berteraskan riba (faedah) seperti yang dijalankan oleh bank-bank perdagangan dan syarikat-syarikat kewangan yang lain.

2) Tidak menjalankan operasi mengeluar atau menjual barangan haram seperti minuman keras, daging yang tidak halal dan daging khinzir.

3) Tidak menjalankan operasi yang membabitkan kegiatan yang mempunyai unsur gharar seperti perniagaan insuran konvensional.

4) Tidak mempunyai operasi yang melibatkan aktiviti perjudian. Sebaliknya, sesebuah syarikat diklasifikasikan sebagai sekuriti yang tidak diluluskan sekiranya menjalankan aktiviti teras yang tidak diluluskan syariah seperti:

a. Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba

b. Perjudian

c. Pengeluaran dan penjualan baranagn yang tidak halal atau barangan yang berkaitan

d. Insuran konvensional

e. Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah

f. Pengeluaran dan penjualan barangan yang berasaskan tembakau dan barangan berkaitan

g. Pembrokeran atau jual beli sekuriti yang tida diluluskan syariah

h. Aktiviti lain yang di dapati tidak selaras dengan syariah.

MPS juga mengambil kira tahap sumbangan daripada pendapatan faedah yang diperoleh syarikat hasil daripada simpanan tetap konvensional atau instrumen kewangan konvensional yang lain.[35]

Secara rumusannya, Islam sentiasa mementingkan kesucian dalam mencari sumber harta agar umatnya tidak terjerumus dengan kebatilan. Kaedah pemilikan harta melalui pelaburan saham telah mengundang beberapa implikasi kepada umat Islam khususnya dalam cara atau amalan jualan saham dalam bursa. Keperluan untuk menilai terhadap perkara ini telah wujud di Malaysia dengan penubuhan beberapa panel penasihat syariah di institusi-institusi kewangan perbankan, perbankan bukan bank, Suruhanjaya Sekuiriti (SC) dan lain-lain. Perkembangan positif ini menunjukkan alternatif kewangan Islam kepada masyrakat Islam kini dalam menolak prasangka syubhah dalam urusan di institusi kewangan yang bersifat konvensional. Maka dalam institusi pelaburan saham di Bursa Malaysia yang dibina bentuknya dari luar memungkinkan kepada penilaian terhadap amalan jualannya. Asasnya dalam kertas ini adalah untuk melihat amalan yang bercanggah dengan teori muamalah Islam.

BAB 3

3. JUAL BELI SAHAM YANG BERCANGGAH DENGAN MUAMALAH ISLAM DI PASARAN BURSA SAHAM

Dalam pelaburan di bursa saham dilihat mempunyai beberapa yang bercanggahan dengan amalan jual beli dari perspektif Islam. Walaubagaimanapun pelbagai pendapat pro dan kontra tentang saham. Secara literalnya diketahui bahawa pelabur dalam sesuatu syarikat mempunyai hak pemilikan dalam syarikat. Maka anggapan penulis tentang jual beli saham akan memungkinkan beberapa yang boleh menjejaskan transaksi. Antaranya:

3.1 Faedah

Faedah di sini dapat dinyatakan dengan riba. Kebersihan dalam konsep muamalah dalam Islam, adalah tanpa wujudnya riba. Dalam pelaburan saham, kadar bunga menjadi tumpuan oleh beberapa pihak selain daripada keuntungan. Menurut Ismail Ibrahim kadar bunga juga boleh menjadikan risiko terutama bagi sekuriti yang memberi pendapatan tetap kerana kadar bunga yang naik tinggi akan menyebabkan pasaran sekuriti merosot.[36]

3.2 Spekulasi dan Manipulasi

Antara risiko yang dihadapi oleh pelabur adalah faktor spekulasi dalam pasaran saham. Pemain spekluasi sentiasa mementingkan keuntungan modal dalam jangka masa pendek. Dalam jangka pendek pasaran saham mengalami turun naik harga yang kuat. Kerugian modal yang mungkin ditanggung dalam jangka pendek adalah lebih besar daripada jangka panjang.[37]

3.3 Kaedah ‘Umum Balwa

‘Umum balwa ialah sesuatu tidak baik yang meluas terkena kepada kebanyakan orang dan sukar untuk menghindarkan diri daripadanya. Banyak di kaitkan umum balwa dengan kaedah al-mushaqqah tajlib al-taisir iaitu prinsip keringanan.

3.4 Gharar

stilah gharar adalah salah satu unsur negatif yang mengganggu kesahihan sesuatu akad. Ianya jua boleh terjadi dengan anggapan seseorang pembeli tentang apa yang dikehendaki tidak berlaku sepertimana yang dianggapnya

3.5 Klasifikasi Mengikut Tanda Aras Terhadap Masalah Percampuran

Persoalan tentang, timbulnya masalah mengenai kegiatan syarikat yang bercampur, iaitu mempunyai unsur-unsur yang dibenarkan dengan yang diharamkan oleh syarak. Dalam hal ini MPS akan mempertimbangkan dua kriteria tambahan:

1. Pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik

2. Aktiviti teras syarikat mempunyai kepentingan dan maslahah kepada umat Islam dan negara manakala unsur yang tidak selaras dengan syariah adalah amat kecil dan melibatkan perkara ‘umum balwa (perkara terlarang sukar dielakkan), uruf dan hak-hak masyarakat bukan Islam yan diperakui oleh Islam.

Dalam penentuan pencampuran sumbangan yang dibolehkan daripada aktiviti selaras dan tidak selaras dengan syariah kepada perolehan dan keuntungan sebelum cukai sesebuah syarikat, MPS telah menetapkan beberapa tanda aras tertentu mengikut ijtihad:

a. Tanda aras 5%. Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang jelas keharamannya seperti riba, judi, minuman keras dan daging babi.

b. Tanda aras 10%. Tanda aras ini digunakan untuk mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yan melibatkan unsur ‘umum balwa’ iaitu perkara terlarang melibatkan kebanyakn orang dan sukar untuk dielakkan. Contoh sumbangan tersebut ialah pendapatan faedah daripada simpanan tetap dalam bank konvensional. Tanda aras ini juga digunakan bagi aktiviti yang melibatkan tembakau.

c. Tanda aras 25%. Tanda aras ini digunakan bagi mengukur tahap percampuran sumbangan aktiviti yang secara umumnya selaras dengan syariah dan mempunyai maslahah kepada masyarakat awam, namun terdapat unsur lain yang boleh menjejaskan status syariah aktiviti berkenaan. Antara aktiviti yang mempunyai tanda ara ini ialah aktiviti pengoperasian hotel dan pusat peranginan, perniagaan saham, pembrokeran dan sebagainya kerana aktiviti tersebut berkemungkinan melibatkan aktiviti lain yang tidak selaras dengan syariah.

3.6 Unsur Judi

Judi adalah perkara yang diharamkn oleh Allah s.w.t.[38] Oleh itu, terdapat beberapa syarikat yang menjadikan operasinya dalam bentk perjudian. Selain itu, ada beranggapan spekulator memasuki pasaran semata-mata bergantung kepada nasib yang serupa dengan ciri-ciri mereka berjudi.

4. KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan ringkas di atas tentang amalan jual beli yang bertentangan dengan teori muamalah, dapatlah dinyatakan bahawa konsep pelaburan saham di bursa saham bukanlah dari kerangka Islam. Justeru itu, pengoperasian dalam aplikasi terkini melihat kepada sikap dan kefahaman masyarakat Islam tentangnya. Sikap pro aktif masyarakat terhadap pelaburan di bursa saham, membolehkan kewujudan Majlis Penasihat Syariah sebagai alternatif kepada pelabur tentang onsep pelaburan yang dituntut Islam. Namun beberapa perkara juga yang perlu diteliti dalam kegiatan tersebut kerana ruang ke arah menjadi pasaran saham Islam yang ideal terbuka, atas dasar kerajaan dan permintaan semasa. Justeru dapat dibangunkan dengan konsep yang tidak terlepas dengan akidah dan keredhaan Allah dalam bentuk muamalah semasa yang semakin kompleks sifatnya. Wa Allahu a’lam

RUJUKAN

Ab. Mumin Ab. Ghani. 1999. Sistem kewangan Islam dan pelaksanaannya di Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Abdul Aziz Khayyath. 2003. Saham dan bon menurut perspektif Islam. (Terj.) Hairon Zainal Abidin. Selangor: As-Syabab Media.
Abdul Halim El Muhammady. 1994. Sumber undang-undang Islam dan pandangan orientalis. Selangor: Budaya Ilmu Sdn Bhd.
Ahmad Shalaby. 1968. Sumber-sumber pembinaan hukum Islam. (Terj.) Abdullah Badjerai. Singapura: Penerbit Pustaka Nasional.
Ahmad Zakiyy Thuffah. 1985. Mashodir al-Tasyric al-Islami wa qawāid al-suluk al-cammah. Beirut: Maktabah al-Madrasah.
Al-Barwary, Sya’ban Muhammad Islam. 2007. Bursa saham menurut pandanganIslam. Jasmin Enterprise: Kuala Lumpur.
Al-Nawawi, Muhyidin Abu Zakaria Yahya b Syariff. 1992. Hadis 40. (Terj.) Mustafa Abd Rahman. Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar.
Al-Zuhaili, Wahbah. 2005. Fiqh dan Perundangan Islam, (Terj.) Md. Akhir Haji Yaacob, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Aziah Bt Mohd Jesan. 2007. Transaksi Saham di Bursa Saham Malaysia Menurut Perspektif Islam. Kertas kerja kursus Fiqh Muamalah PQ 6053.
Berita Harian. 2003.
Haron Din. 2002. Manusia dan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Hashim Mehat. 2004. Persamaan dan perbezaan undang-undang jenayah Islam dan undang-undang jenayah ciptaan. Dlm. Zaini Nasohah et al. Syariah dan undang-undang suatu perbandingan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Ismail Ibrahim. 1988. Saham dan pasaran saham. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Joseph Schacht. 1950. The origin of Muhammadan Jurisprudence. Oxford: Oxford Unversity Press.
Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. 2002. Kuala Lumpur: Suruhanjaya Sekuriti
Othman Yong. 1995. Saham, satu pengenalan tentang gelagat perubahan harga saham dan maklumat asas bursa sahama Kuala Lumpur, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Syed Mohd. Ghazali Wafa et al. 2005. Pengantar Perniagaan Islam. Selangor: Pearson Malaysia Sdn Bhd.
Zulkiple Abd Ghani. 2003. Islam, komunikasi dan teknologi maklumat. Kuala Lumpur: Utusan Distributors & Publications.

[1] Berita Harian Malaysia 2003

[2] Zulkiple Abd Ghani. Islam, Komunikasi dan Teknologi Maklumat, (Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors), 2003, hlm. 83

[3] Hadis Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itu nyata, dan di antara keduanya ada perkara-perkara kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia……” Hadis ini diriwayatkan oleh ImamBukhari dan Muslim dari Abu Abdullah al-Nucman bin Basyir. Lihat al-Nawawi, Hadith Empat Puluh, terj. Mustafa Abdul Rahman, 1992, hlm. 141-142

[4] Berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesame kamu denagan jalan yang batil kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku denagn suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh diri. Sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu”. Surah an-Nisa 4:29. Banyak lagi disebutkan di dalam al-Quran tentang konsep pemilikan dan pencarian harta.

[5] Muncul pasaran saham berasal daripada Romania. Sya’ban Muhammad Islam al-Barwary, Bursa Saham, (Jasmin Enterprise: Kuala Lumpur, 2007), hlm. 25.

[6] Syubhah adalah perkara-perkara yang mempunyai kesamaran atau ketidakpastian tentang halal atau haram.

[7] Abd Halim El Muhammady, Sumber undang-undang Islam dan pandangan orientalis. Selangor: Budaya Ilmu Sdn Bhd.), 1994, hlm. 1.

[8] Joseph Schacht, The origin of Muhammadan Jurisprudence. Oxford: Oxford Unversity Press)1950, hlm.1.

[9] Ahmad Zakiy, Mashodir al-Tasyric al-Islami wa qawāid al-suluk al-cammah, (Beirut: Maktabah al-Madrasah), 1985, hlm. 7.

[10] Al-Quran, surah al-Nisa’ 4:59

[11]Ahmad Shalaby, Sumber-sumber pembinaan hukum Islam. (Terj.) Abdullah Badjerai, (Singapura: Penerbit Pustaka Nasional), 1968, hlm. 10-11.

[12] Prof Madya Dr. Hashim Mehat, Persamaan dan perbezaan undang-undang jenayah Islam dan undang-undang jenayah ciptaan. Dlm. Zaini Nasohah et al. Syariah dan undang-undang suatu perbandingan. (Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.) 2004, hlm. 102.

[13] Al-Zuhaili, Wahbah, Fiqh dan Perundangan Islam, (Terj.) Md. Akhir Haji Yaacob, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka), 2005, hlm 360.

[14] Al-Quran, surah al-Baqarah 2:275.

[15] Haron Din, Manusia dan Islam, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka), 2002, hlm. 32.

[16] Op cit, 2005, hlm. 363.

[17] Syed Mohd. Ghazali Wafa et al, Pengantar Perniagaan Islam. Selangor: Pearson Malaysia Sdn Bhd. 2005, hlm. 80

[18] Ibid, 2005, hlm. 83. Penulis buku turut memberikan beberapa prinsip dalam membuat sesuatu pelaburan iaitu, pertama tidakan melabur dalam aktiviti perniagaan yang diharamkan oleh syarak, kedua tiada jaminan terhadap keuntungan, ketiga tidak wujud unsur gharar (ketidakpastian) atau elemen perjudian. Keempat tiada unsur paksaan dalam keputusan membuat pelaburan, dan kelima tidak terlibat dengan riba.

[19] Al-Zuhaili, Wahbah, Fiqh dan Perundangan Islam, (Terj.) Md. Akhir Haji Yaacob, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka), 2005, hlm 795.

[20] Ibid, 2005, hlm. 797-841

[21] Syarikat jenis ini diharuskan oleh ulama Hanafi dan Maliki. Sebaliknya ulama mazhab Syafie dan Hanafi tidak mengharuskannya.

[22] Aziah Bt Mohd Jesan, Transaksi Saham di Bursa Saham Malaysia Menurut Perspektif Islam, Kertas kerja kursus Fiqh Muamalah PQ 6053, 2007, hlm. 3.

[23] Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. (Kuala Lumpur: Suruhanjaya Sekuriti), 2002, hlm. 16.

[24] Ibid.

[25] Al-Zuhaili, Wahbah, Fiqh dan Perundangan Islam, (Terj.) Md. Akhir Haji Yaacob, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka), 2005, hlm 795.

[26] Ibid, 2002, hlm. 22.

[27] Ismail Ibrahim, Saham dan Pasaran Saham, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka), 1988, hlm. 1.

[28] Ab. Mumin Ab. Ghani, Sistem Kewangan Islam dan Pelaksanannya di Malaysia, 1999. hlm. 84.

[29] Othman Yong, Saham, satu pengenalan tentang gelagat perubahan harga saham dan maklumat asas bursa sahama Kuala Lumpur, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka), 1995, hlm. 180

[30] Abdul Aziz Khayyath, Saham dan Bon Menurut Perspektif Islam, 2002, hlm. 95-95

[31] Sistem SCORE ialah system perlaksanaan dan penghantaran pesanan berkomputer. Sistem disediakan oleh pihak Bursa Saham Malaysia kepada ahli-ahlinya.

[32] Op cit, 1995, hlm. 180

[33] Selain itu, kaunter syariah di Bursa Malaysia diperkenalkan pada tahun 1996. Ianya diwujudkan untuk memudahkan umat Islam menceburi bidang pelaburan yang halal dari sudut pandangan syarak. Bermula pada tahun 1999, kaunter syariah di Bursa Malaysia telah menganalisis laporan kewangan syarikat sebanyak dua kali iaitu pada bulan April dan Oktober bagi memastikan sekuriti dijamin sepenuhnya bersih daripada perkara-perkara yang boleh melanggar prinsip-prinsip yang telah ditetapkan. Malahan, kaunter syariah menjadi tempat rujukan dan panduan kepada masyarakat Islam mengumpul dan melabur ke dalam sekuriti-sekuriti di Bursa Saham. Syed Mohd. Ghazali Wafa et al, Pengantar Perniagaan Islam. Selangor: Pearson Malaysia Sdn Bhd. 2005, hlm. 86-88.

[34] Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. (Kuala Lumpur: Suruhanjaya Sekuriti), 2002, hlm. 5.

[35] Syed Mohd. Ghazali Wafa et al, Pengantar Perniagaan Islam. Selangor: Pearson Malaysia Sdn Bhd. 2005, hlm. 90

[36]Ismail Ibrahim, Saham dan Pasaran Saham, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka), 1988,hlm. 38.

[37] Ibid, 1988, hlm. 45.

[38] Al-Quran, surah al-Maidah ayat 90.

Kepimpinan Masjid